Thursday, November 30, 2006

HIDANGAN EKSOTIK BUAT HIDUPMU LEBIH MENGAUM

SAYA tidak cerewet makan. Bubuhlah apa saja depan saya, selagi ianya halal dan menyenangkan selera, saya tidak tolak. Mungkin kerana itu, jarum penimbang berat badan jarang mahu berganjak biarpun macam-macam ubat kurus saya ambil. Sewaktu hamil, berat badan menjadi-jadi naiknya. Malah anak-anak saya yang layak diiktiraf sebagai mulut orang Melaka, menyebut keadaan saya sama seperti paus yang terdampar di laut cetek kalau emaknya sedang berbaring. Kelahiran anak terakhir beratnya 4.5 kilogram, dan seperti dijangkakan, anak yang bulat, apabila membesar dan lasak semakin panjang dan kurus. Tetapi emaknya??? Oh, tidak juga susut-susut!

Namun keadaan yang luar biasa dan tidak dijangkakan berlaku sewaktu saya ke Hong Kong awal tahun lalu. Wah, 14 hari di sana, saya mampu menyarung semula jeans yang hanya muat tujuh tahun lalu! Tapi seperti juga ramalan lazim saya, keseronokan itu hanya sementara! Makanan di Malaysia memang syurga. Itu sahaja mampu saya kata. Di Hong Kong, em sukar saya mahu katakan... dan perkara inilah yang ingin dikongsi bersama. Hidangan yang cukup tidak terjangkau dek akal fikiran dan eksotik menanti pengunjung. Namun saya memandangnya dengan penuh geli-geleman dan kembang tekak.

Bayangkan sewaktu menyusuri Temple Street saya terpaksa melalui restoran-restoran yang berbumbungkan payung besar. Berdesir-desir bunyi nyonya atau amoi menumis dan menggoreng dalam kuali. Baunya... memang kuat semerbak aroma bawang putih. Saya bersama tiga orang teman, puas menahan nafas seperti mahu menyelam 10 meter.

“Jangan risau! Halal! Itik ini disembelih.” Navin, pemandu pelancong berkali-kali menegur saya yang sekadar mencuit-cuit hidangan setiap kali waktu makan.

“Kamu tidak adventourus!” Sampai satu ketika rungutannya berubah amarah kerana letih melihat saya tidak pernah mahu makan kecuali dibawa ke restoran India Muslim.

“Saya diet!” Itu jawapan paling sopan. Dan Navin akan mencebik dan saya pun tak kecil hati sebab sedar diri ukuran badan bukan seperti waktu di kampus dahulu.

Macam manalah tidak lalu mahu makan kalau setiap kedai makan yang dibawa berjiran dengan hidangan eksotik. Hong Kong memang cukup berani dalam bab-bab makan. Malah Navin yang handsome sayang bangga mengakui diri gay, berkali-kali bercerita, dia makan apa saja, yang berkaki atau tidak, yang terbang atau merayap, kecil besar, semuanya diterima dengan senang hati. Selain itu dia juga puas mengingatkan saya, setiap makanan yang ganjil itu penuh khasiat, penuh rahsia yang tersembunyi. Hanya mereka yang sudah mencuba mampu menceritakannya. Dan, saya sebagai wartawan yang taat, mendengar penuh minat, menyalin penuh tekun, biarpun terasa mahu muntah hijau berbaldi-baldi. Yang jelas setiap khasiat yang disebut itu pasti sahaja dikaitkan dengan seks.

Bayangkan kaki beruang dipotong beruas-ruas, malah masih meleleh-leleh darah segar. Kalau masih berdarah, semakin mahal harganya. Maklum itu tanda hidangan masih segar dan baru. Itu tidak termasuk dengan bertalam-talam daging musang pulut, kucing liar, tenggiling, tupai, ular berbisa, ular tak berbisa, kemaluan badak, telur harimau dan entah segala macam jenis binatang yang patutnya bebas lepas di rimba. Atau, paling afdal pun segala perkara yang berkaitan organ haiwan ini layaknya duduk di makmal sains. Bukan di dalam kuali, di dalam belanga atau di dalam stimboat!

Paling menyayatkan hati apabila terpandang sekilas, sepasang anak muda, menyedut otak monyet yang dicurahkan dengan arak.

“Itu pasangan baru kahwin. Mereka mahu menghilang lenguh-lenguh badan!”

“Dengan otak monyet yang mentah?” Saya dan rakan bertanya. Navin mengangguk selamba.

“Monyet itu ditetak hidup-hidup.”

Lebih tragis apabila saya melihat kulit binatang seperti beruang, kucing dan ular ditayang dan digantungkan. Itu bukti bahawa daging yang sudah siap dimasak atau lauk hidang mereka benar-benar tulen.

“Makan hati harimau, bahagian sulit harimau, nanti di bilik tidur pun macam harimau! Boleh mengaum!” Navin berlawak.

Tetapi tidak seorang pun daripada kami menganggap itu sesuatu yang lucu.

Kalau di Bangkok, Cheing Mai memang biasa saya memandang pelbagai serangga dijadikan kudap-kudapan hatta lipas dan cengkering! Yang moden sikit mencelupnya dengan coklat. Di Bali pun memang tidak terkecuali. Memang ada pasar basah yang menjual ular, monyet, kura-kura untuk dibuat lauk. Tapi bukanlah segala binatang besar seperti badak, gajah, harimau atau beruang. Rasanya kalaulah lelaki yang menyertai kami, tentu banyak benar rahsia dan tips makanan eksotik diterima daripada Navin.

Sukar dibayangkan, lelaki yang mengaku dirinya amat moden seperti Navin dan khabarnya setiap musim sejuk dihabiskan masa enam bulan di dalam kapal layar di Britain, masih mengamalkan kepercayaan tradisi dalam perihal makanan. Melihat susuk badannya yang berruas-ruas, memang Navin mengakui menghabiskan masa tiga atau lima jam di gimnasium jikalau tidak perlu menjadi pemandu pelancong. Namun bab makan, dia memang masih ortodoks! Seperti katanya, kalau mendaki puncak Lantau Island yang berhampiran dengan tanah Hong Kong, dia tidak gusar diganggu ular berbisa.

“Saya akan parangkan kepalanya, belah minum darahnya, makan hempedu dan bakar dagingnya! Jadi lauk sewaktu berkhemah!”

Oh, kami memang terkedu. Begitu karnivor bunyinya! Saya tanya apa khasiat dan seperti dijangka, kata Navin makanan seperti itu akan membuat dirinya panas, perjalanan darah lebih lancar. Ada pula mulut gatal kawan saya yang bertanya. Untuk apa bagusnya darah panas? Navin selamba memberi jawapan yang membuatkan kami malu sendiri. Hebat kala seks! Oh, ngerinya mendengar jawapan mamat gay ini.

Tambah Navin lagi kesan makanan eksotik ini tidak sama dengan viagra. Katanya tersalah makan, pil itu boleh mengancam jantung. Boleh menyebabkan seseorang terus putus nyawa. Kemunculan Viagra di pasaran tempatan pada 1998 pernah diramal akan mengurangkan permintaan terhadap daging haiwan liar ini tetapi ia tidak berlaku di kalangan negara Asia di kala hampir 20 juta lelaki di seluruh dunia menggunakan Viagra dan 96 peratus gembira dengan hasilnya.

Selain Viagra, kemunculan dua lagi pil yang dikatakan lebih hebat iaitu Cialis (Tadalafil) dan Levitra (Vardenafil) tahun lalu masih gagal mengubah persepsi masyarakat meskipun dua pil baru itu tidak mempunyai sebarang kesan sampingan dan lebih selamat lagi berkesan berbanding Viagra. Pertubuhan bukan kerajaan, WildAid, yang terbabit dalam pembanterasan penyeludupan hidupan liar melaporkan bahawa kebanyakan hidupan liar serta organ binatang yang dikatakan berkhasiat diseludup dibawa dari Asia Tenggara menerusi pekan Taichilek di sempadan Thailand-Myanmar khusus untuk dipasarkan di China. Sebenarnya nama Tachileik hanya satu daripada berpuluh-puluh pusat penyeludupan di sepanjang kawasan sempadan itu yang membawa keluar pelbagai flora dan fauna untuk memenuhi permintaan tinggi di China.

Orang tengah ini bertanggungjawab menyeludup barangan berkenaan ke dalam pesawat kargo untuk dibawa ke Vientiane, Laos. Dari sini, ia dibawa menggunakan jalan darat ke Vietnam dan seterusnya ke China. Singapura dan Thailand juga kadang-kadang menjadi pusat transit.
Laporan menyebut beberapa ladang menternak beruang dan harimau secara komersial diwujudkan di China berikutan ancaman Sindrom Pernafasan Yang Teruk (SARS), yang dikatakan berpunca daripada haiwan eksotik liar seperti musang baru-baru ini. Menyusuli ancaman SARS, pihak berkuasa China bertindak membuat serbuan terhadap beberapa pasar hidupan liar di wilayah selatan menerusi operasi `Spring Thunderstorm’ yang menyaksikan rampasan membabitkan kulit 31 harimau, 581 harimau kumbang serta 778 anggota hidupan liar lain bernilai lebih RM4.56 juta.

Hingga kini berjuta-juta masyarakat Cina di serata dunia masih percaya bahawa memakan anggota haiwan tertentu boleh memberi kekuatan menyamai haiwan berkenaan dan ratusan sangkar yang dijaja secara selamba di pasar basah mereka Bekalan tenggiling dari Indonesia, ular dari Vietnam dan beruang serta harimau dari Myanmar kini semakin berkurangan di negara terbabit.

Malah kalau dijengah di pasar Shanghai, Shenzen atau Guangzhou, China berbanding di habitat semula jadi binatang berkenaan. Tanpa disedari lebih 10,000 tan tuntung diperdagangkan saban tahun di rantau Asia sebagai hidangan eksotik. Khabarnya kalau 10 tahun dulu, seorang pemburu di Laos boleh menjual seekor tuntung emas dengan harga RM380 kerana darahnya dikatakan berkhasiat mengubati barah, harganya kini melambung sehingga RM3,800. Jika seorang jutawan China menghidap kanser, dia akan sanggup berbuat apa saja bagi mendapatkan darah tuntung emas ini.

Dianggarkan lebih 20 juta kuda laut ditangkap setiap tahun, terutama di Laut China Selatan dan 95 peratus daripadanya dibekalkan ke kedai tabib Cina di serata dunia. Alkisah kuda laut juga punya magik menyembuh masalah mati pucuk.

Entah, sukar dipadam kepercayaan kuno ini biarpun kalau dilihat gaya pemakanan begini tidak ubah seperti puak barbarian. Sebenarnya bukan di Asia sahaja yang menebal kepercayaan ini. Saya masih terbayang-bayang hidangan di depan mata sewaktu di Hotel Riviera, Beirut, Lebanon. Waktu itu mata masih mamai kerana penerbangan yang amat panjang dari Malaysia hanya singgah dua jam di Dubai. Memang mata tidak boleh buka biarpun hidangan penuh gaya di depan mata. Ada dua biji macam bebola di susun cantik ada pula macam daging sosej yang panjang. Ganjil melihatnya. Saya yang masih berkali-kali menguap besar, bertanya selamba. Apa benda ni... pada pak arab yang menghidang. Ini telur benda sulit kambing jantan puan! Puan letih, ini bagus mengembalikan tenaga.

Oh, tidak! Biarlah saya berlapar. Biarlah saya hilang berat badan bukan sebab diet. Tidak sanggup saya makan benda-benda pelik itu. Baik dari Hong Kong atau Beirut, kala menjejak saja kaki ke airport saya menggelupur mencari nasi lemak. Entahlah, biar jauh pergi, selera dan tekak saya masih Malaysia!

.

SAINS CINTA & BOOBY TRAP

SAINS CINTA & BOOBY TRAP

BERCERITA tentang cinta memang mengasyikkan! Apatah lagi kalau yang mahu diungkap itu cerita-cerita manis, kisah-kisah lama yang amat mengkhayalkan. Kali ini saya mahu bercerita perihal cinta, kemanisan sepotong cinta dan paling istimewa kaitan cinta dengan hormon tubuh. Satu pagi sewaktu jam sudah menunjukkan pukul dua pagi, telefon bimbit saya berbunyi. Isyarat ada sms masuk. Awalnya saya enggan melayannya apatah lagi saya sendiri sedang kejar-mengejar dengan waktu menyiapkan dua buah buku lagi. Namun tiga kali dalam masa yang singkat telefon bimbit terus berbunyi.
Lily, kau kena tolong aku! Aku jumpa dia semula! Kau cuba-cubalah telefon pejabat dia ye! Mintakkan nombor handphone.Don’t worry.. aku tak rampas sesiapa punya. Dia kembali solo! Kau le sahabat aku dunia akhirat!
O-o... nak kena menyamar lagi!!! Saya menarik nafas panjang. Mengeluh sebab sudah lama benar kegiatan samar-menyamar di telefon ini saya tinggalkan! Namun sahabat saya yang seorang ini nampaknya bersungguh-sungguh meminta tolong. Memanglah di kalangan teman-teman, saya memang cukup cekap menyamar di telefon. Dan memang kalau ‘menggoreng’ orang pun saya cukup terror untuk mengorek rahsia apatah lagi di telefon. Mungkin hasil didikan disiplin kerja sebagai wartawan 11 tahun.
Selama seminggu saya berfikir sebelum menelefon sahabat saya. Dia memang masih solo. Bukannya tidak kepingin berteman namun luka cinta lamanya pada kekasih hati, tidak pernah mahu sembuh. Saya mengenali sahabat ini sejak di bangku sekolah. Cintanya cukup tegar, hatinya tegas, berjanji tiada cinta kedua. Yang dinanti adalah kekasih lama kembali ke rangkulan.
Kali terakhir saya bertemu sahabat saya ini, memang badannya agak berisi. Namun dalam lawak dia sempat mengusik, tubuhnya berisi kerana hati senang! Kalau tension kerja, coklat Pacthi dibelinya berkotak-kotak. Bila-bila teragak, dibelinya kek coklat pisang Secret Recipes macam membeli pisang goreng tepi jalan. Waktu itu jerawat di mukanya, usah dikata! Mengalahkan dara sunti yang baru didatangi haid.
Kami akhirnya bertemu, saya bertanyakan permintaannya yang menjadi misi baru dalam hidupnya. Terkejut bukan kepalang. Wajahnya jernih bercahaya. Kulit semakin hilang parut jerawat dan mulai berbayang merah. Badannya? Masih lagi berisi tetapi kemas dan begitu menggiurkan. Aset paling berharga yang dimilikinya tentu sahaja pinggulnya yang cantik melentik seperti Jlo!
“Aku rasa macam jatuh cinta kali kedua!” Jeritnya sambil memeluk saya yang terpinga-pinga.
“Dengan siapa?” Saya mahu mengucapkan tahniah dan menitipkan doa, moga terus berkekalan sehingga mendapat jodoh.
“Dialah!”
“Siapa?” Saya termangu-mangu.
“Faris!”
Saya terkelip-kelip mendengar nama itu. Cuba mencari dengan tepat dalam kotak memori fikiran. Bukan ke nama itu sering membuat teman saya ini nanar dengan cinta sejak tingkatan lima?
Oh! Saya macam tidak percaya. Namun itulah hakikatnya, perasaan cinta yang kembali berputik membuat teman saya ini semakin bercahaya wajahnya. Keindahan cinta bagai terpancar di celah sinar. Biarpun sekadar baru terserempak dan hanya menyapa sepatah dua, sahabat saya ini bagai terkena panahan cupid kali kedua dari dewa cintanya yang sama! Untuk meminta si dia nombor telefon bimbit, agak malu, maka saya dijadikan sasaran.
Kepala ligat berfikir. Dalam keadaan terdesak, saya nekad menelefon dan dengan nada serius saya minta alamat penuh dan paling penting nombor telefon. Saya cuma katakan saya dari pejabat sekian-sekian mahu membuat penghantaran bungkusan pada si dia! Arghh... tugas saya selesai dan saya smskan nombor itu pada sahabat saya mengharap.
Tidak sampai sebulan kami berjanji temu. Kali ini saya benar-benar terkejut! Badan sahabat saya ini susut 9 kilogram! Diet apa yang diikut? Makan ubat kurus cap apa? Saya pantas bertanya.
“Ubatnya jatuh cinta semula!”
Saya bertegas bertanya dan dia juga serius menjawab.
“Sungguh! Kau kena bercinta... jatuh cinta semula. Tak kiralah untuk kali keberapa biarpun dengan hubby sendiri.” Jawabnya girang. Namun dalam diam dia mengakui, tidak lagi menjamah nasi sejak sekian lama bertemu semula si dia. Rutinnya dalam sehari pasti akan dimainkan lagu berentak fast. Dan dia akan melompat, menari dan membuat step pantas selama sejam sehingga lencun berpeluh. Khabar lain, dia juga semakin rajin menjengah ke farmasi mencari segala vitamin tambahan. Kini saban hari lima jenis vitamin ditelannya.
Oh, itu memang luar biasa! Cinta merubah hormon teman saya ini. Cinta membangkitkan mood bahagia di jiwanya. Kiranya memang benar Prof Helen Fisher dari Universiti of Rutgers di Amerika Syarikat merumuskan jatuh cinta akan membawa perubahan hormon yang hebat pada manusia. Malah tiga tahap percintaan, tahap kesuburan, tertarik dan seterus penyatuan akan memacu hormon dan larutan kimia yang berbeza pada tubuh manusia.

Tahap 1: Kesuburan
Peringkat awal percintaan ini memperlihatkan hormon seks testosterone dan oestrogen menguasai diri lelaki dan perempuan.
Tahap 2: Tarikan
Inilah detik yang paling menakjubkan apabila jiwa terperangkap dalam cinta dan diri tidak mampu berfikir perkara lain. Saintis beranggapan ada tiga neurotransmitter yang mempengaruhi diri manusia pada tahap ini iaitu adrenaline, dopamine dan serotonin. Petanda awal pada detik ini tentunya rasa gelisah yang menguasai jiwa, peningkatan adrenaline dan cortisol pada darah. Semua ini memberi charming effect apabila jantung berdebar dan mulut menjadi kering kala diri asyik terkenang kekasih hati.
Tahap 3: Penyatuan
Helen Fisher berjaya melakukan pengamatan dan uji kaji kepada pasangan yang asyik bercinta. Otak mereka dijadikan sample kajian. Hasilnya, didapati peningkatan pada larutan kimia yang dipanggil neurontransmitter dopamine. Larutan kimia ini membakar rasa ghairah dan penghargaan diri melalui kejutan dan tekanan rasa seronok yang luar biasa. Malah kajian menunjukkan, kesan khayalan dan keseronokan itu pada otak manusia sama seperti mengambil kokain!

Penemuan yang menakjubkan apabila Helen Fisher mendapati mereka yang dirangsang larutan kimia seperti dopamine menunjukkan beberapa simptom. Antaranya, peningkatan tenaga yang hebat, jiwa sentiasa positif, memerlukan tidur yang pendek, boleh mengurangkan pengambilan makanan dan lebih sensitif pada hal yang kecil serta remeh.
Saya terus terkenang teman saya yang kini mungkin semakin asyik dengan buah hatinya! Memang tepat sebenarnya dia menurunkan petua... kalau mahu cantik, mahu bersemangat untuk berlawa-lawa... di hati cinta harus bernyala.
Satu kajian terbaru yang dilakukan di University of Chicago membuktikan bahawa tahap testosterone meningkat sehingga satu per tiga walaupun pada perbualan kasual di antara lelaki dan perempuan yang saling tidak mengenali. Semakin tinggi reaksi hormon, maka semakin ketara perubahan tingkah laku dua insan itu. Kalau dikaji pada binatang, hormon testosterone ini merangsang tingkah laku agresif yang semberono. Paling menarik, dikatakan bacaan hormon ini menurun bagi lelaki yang berkahwin dan bergelar bapa berbanding dengan lelaki yang masih meninjau-ninjau soulmate di padang pencarian.
Pakar piskologi mendapati manusia hanya memerlukan sepantas 90 saat hingga 4 minit untuk membuat keputusan sama ada hati terpaut pada seseorang atau tidak. Percaya atau tidak, kadangkala sewaktu hati sedang asyik berkencan, apa yang kita lafazkan bagai tidak selari dengan apa yang terlintas di fikiran. Lain yang mahu diucapkan, lain pula yang keluar. Ada ketika kita malu sendiri dik bibir yang terlalu cekap melontar kata. Ini diakui oleh ahli psikologi yang mana mendapati saat diri dilamun cinta, kewarasan akal ada kala sukar dikawal. Malah perlambangan cinta itu mudah dikesan sebenarnya. Cinta terserlah melalui
· 55 peratus gesture tubuh atau bahasa tubuh.
· 38 peratus nada suara dan kelajuan anda bercakap.
· 7 peratus dari apa yang bibir lafazkan

Bagi Dr John Marsden, Ketua British National Addiction Center, dia menyifatkan jatuh cinta membawa perubahan besar pada tingkah laku manusia. Mereka yang mengalaminya akan merasai sesuatu yang lebih segar dan jiwa sentiasa teruja dengan jalinan emosi yang romantik. Malah pada penghujung perhubungan dua perasaan ini, kedua-duanya sentiasa terdedah kepada booby trap yang mungkin membawa kebahagiaan atau tidak mustahil kepada keruntuhan moral, iaitu hubungan seksual. Bagi mereka yang berpegang kepada ajaran agama, gamitan dan godaan seksual pasti disalur dengan cara yang halal, iaitu ikatan perkahwinan.
Kajian dari Prof Donatella Marazziti dari University of Pisa, Itali menunjukkan perasaan jatuh cinta juga menyumbang elemen ketenangan dalam jiwa seseorang. Biarpun pakar ini tidak menolak bahawa jatuh cinta boleh membuat seseorang itu menjadi gila. Semuanya apabila hormon pada tubuh melonjak naik terutama serotonin dan adrenaline. Diri berasa khayal, perasaan terbuai-buai malah seseorang itu boleh tersenyum sendirian hatta berbisik pada hati sendiri umpama berhalusinasi. Tidak mustahil juga perasaan cinta membuat seseorang itu.
Penyudah cerita saya dengan teman karib itu, dia meminta pertolongan saya sekali lagi. Mohon belas ihsan saya untuk mencari beberapa keping gambarnya dengan si dia, sewaktu zaman remaja, yang mungkin ada dalam simpanan saya. Uhh... saya tidak sampai hati mengatakan tidak. Namun terfikir, apakah masih ada dalam kotak di bawah katil di rumah emak di Melaka?? Entah-entah semua khazanah lama itu sudah dibakar emak. Entah-entah sudah reput dimakan bubuk dan dipenuhi sawang. Pulang ke Melaka saya menyelongkar. Satu pun tak ada!
Saya meneruskan misi kerana kasihan. Pulang Kuala Lumpur, saya bongkar stor rumah. Saya jumpa dalam tiga keping gambar sahabat ini. Emm, tanpa dirancang saya juga menjumpai dua tong plastik kecil yang isinya sudah berkecai-kecai merata stor menjadi makanan tikus dan anai-anai.. Surat cinta saya dan suami menjadi hidangan tikus rupa-rupanya! Ada yang sudah menjadi debu dan serbuk! Saya kutip dan leraikan habuk dan debu yang ada... Sunti pembantu rumah turut kehairanan bila saya menyuruh dia mengutip surat dan poskad yang masih boleh diselamatkan. Bayangkan persahabatan sepanjang lapan tahun, tentu mencecah ratus suratnya. Saya baca semula. Saya senyum dan ketawa. Paling bermakna apabila saya kutip bumbu kartu cinta itu untuk diselitkan dalam novel yang sedang saya tukangkan kini. Dan, benarlah kata sahabat saya... tiba-tiba saya berasa kembali muda... teringin hendak menguruskan badan, terasa mahu kembali ke zaman remaja dahulu... apabila saya memandang suami, saya rasakan pandangan saya itu seperti kami belasan tahun dahulu! Perasaan cinta yang penuh larutan kimia sebenarnya mampu merangsang kita kembali muda. Tolak bulan puasa, rasanya sudah dua bulan saya tidak menjamah nasi. Hasilnya? Saya hilang 11 kilogram tidak sampai dua bulan! Tak percaya? Kalau tak percaya, yang sudah berkahwin, cuba hangatkan kembali cinta anda... yang masih solo, cuba cari cinta pembakar semangat... anda akan berasa lebih positif!

Friday, November 24, 2006



PERCINTAAN penuh lara di antara Karmila dan Aidit.


Tahukah dia aku rindu dalam sengsara! Yang tertinggal kini hanyalah air mata dan kenangan lalu. Biar bertahun. Biar sekian lama, masih basah ingatan pada dirinya.


Tidur malamnya dirasuk mimpi, siangnya diracun angan-angan yang tiada kesudahan. Sihir cinta yang dirasai amat luar biasa. Cinta itu adalah dewi yang menyala dan berdenyut jantungnya


Tiada siapa meminta takdir yang begini. Kepayahan hidup di antara ayah bonda, Karmini dan Daeng Amid rupa-rupanya menjadi warisan hidup dalam rumahtangga Karmila.

Mengucap kata cinta hanya membakar lebur jiwa Karmila. Aidit tetap dikenang biar nyawa di hujung badan. Suaminya, Fakri hanyalah lelaki yang memegang status suami di sijil pernikahan.


Dendam berpanjangan apabila puteri mereka Chempaka Adilla Zahira bersumpah, tidak akan ada cinta yang mudah singgah di hatinya. Namun kehadiran Hizairi, membuat hidupnya tidak keruan. Ke manakah pergi dendam kesumat, ke mana menghilangnya ikrar Chempaka Adilla pada ibunya, Karmila? Semua ini terungkap di dalam EPILOG CINTA.


UMPAMA misteri yang tidak terungkai, cinta sering membuat hati kita tidak keruan. Jiwa menjadi kacau, dada sentiasa resah gara-gara cinta. Apakah benar cinta pertama itu sesuatu yang sukar dipadam dari ingatan. Berapa kali pula seorang gadis mampu mengulangi kemanisan cinta sepanjang hidupnya? Sekali seumur hidup, atau memang cinta itu berupaya tumbuh, patah dan kembali bertunas, berkali-kali? Sukar mencari jawapan bagi persoalan begini.

Cinta, penantian dan harapan sering berbaur menjadi satu. Ada ketika cinta memang manis dipendam sahaja. Biar bertahun-tahun, dalam diam dan bisu! Perasaan dan hati sahaja yang berkata-kata. Kala bertentang mata, seribu ungkapan tidak perlu! Cinta memang penuh keanehan. Mungkin kerana itu cinta memang ada waktu tidak perlu bersatu.

Masam-Masam Manis membawa pelbagai kisah dan ragam kala bercinta. Kisah cinta memang tidak pernah berakhir. Pikat-memikat, digoda, dipujuk, sesekali terkecewa kemudian terluka; antara sesuatu yang pasti dalam percintaan. Perca-perca perasaan ini dirangkum menjadi satu di dalam Masam-Masam Manis

Cinta itu perasaan yang memiliki seribu warna. Setiap orang mempunyai kisah dan laluan cinta yang tersendiri. Menyingkap maksud cinta, pengertiannya amat luas, tidak terjangkau dek perasaan. Tiada batas sempadan untuk kita tafsirkan cinta.


Masam-Masam Manis ibarat menyingkap helaian-helaian cinta, yang mampu mencetus rasa rindu kita pada cinta yang mungkin pernah hadir dalam hati. Bagi mereka yang sedang asyik mencicip kemanisan cinta itu, Masam-Masam Manis mampu menjadi kitab percintaan. Setiap daripada kita pasti pernah memiliki rasa cinta. Ada ketika begitu berserakan di hati membuat kita rasa keliru. Apakah benar si dia pilihan hati, atau kita harus menanti cinta lain yang mungkin datang kemudian hari? Namun ada ketika cinta itu lebih manis dalam batas persahabatan. Hubungan platonik dan cinta, apa bezanya, di mana batasannya? Semua ini terungkap di dalam Masam-Masam Manis. Ada waktu cinta itu penuh dengan dusta biarpun hati tetap merintih dia yang kita cintai! Ya, kalau ditanya ada apa dengan cinta... cinta itu penuh dengan masam-masam manisnya.


Cinta ada segalanya, dalam cinta ada rindu, ada resah ada derita!























SEKELUMIT kisah pengorbanan wanita yang berjiwa besar. Seluruh kehidupannya dikongsi bersama anak-anak malang, terbiar dan menghidap HIV/Aids.

Bukan sedikit tohmahan yang diterima. Bukan sedikit cacian yang ditelan, namun semua itu membuat Norlina Haji Alawi bertambah tabah.

Membeli buku ini bererti anda turut menderma untuk Tabung Anak-Anak Pernim

ALL THE BEST Untuk semua


Ni semua sebahagian koleksi gambar sepanjang shooting dengan bebudak af4. dekat studio measat publication. sebenarnya dalam tempoh tu stress tak usah cakap, masing masing semua muka naik berjerawat, maklum jadual kerja tak menentu. hari sabtu ahad kerja, lepas tu balik rumah alah alah jam 7 pagi selepas semua wrap up untuk weekly magazine. anyway untuk semua, team aksi yang dah entah ke mana (dinn, harap terus vast dalam design yg dibuat, untuk kamali-fotografer, fakri yg dah join akhbar sinar di terengganu, amirrul yg hilang jejak) sukses selalu. buat adik-adik af4, pandai-pandailah bawak diri cari rezeki dalam industri seni yang diceburi



















TERIMA KASIH PAK MAN!!!









Pak Man @ Darman bersusah payah bertukang sendiri dengan peralatan yang paling minima untuk siapkan tangga melaka & gerbang kayu yang dikehendaki. biarpun budget yang amat kecil, alhamdulillah, pak man yang penyabar, cuba sebaik mungkin siapkan seperti yang diminta. doa kami mudah-mudahan pak man dimurahkan rezeki, diberi kesihatan yang baik membolehkan dia bertukang lagi untuk job job yang lain.
kiranya ni semua gambar step by step masa pak man tengah siapkan kerja. itupun banyak lagi gambar yang tak sempat nak didownload terutama masa pak man siapkan wakaf.




























Eh, sesat gambar anis kat sini?! nak tunjuk necklace cili merah dia lah tu...