Thursday, November 30, 2006

HIDANGAN EKSOTIK BUAT HIDUPMU LEBIH MENGAUM

SAYA tidak cerewet makan. Bubuhlah apa saja depan saya, selagi ianya halal dan menyenangkan selera, saya tidak tolak. Mungkin kerana itu, jarum penimbang berat badan jarang mahu berganjak biarpun macam-macam ubat kurus saya ambil. Sewaktu hamil, berat badan menjadi-jadi naiknya. Malah anak-anak saya yang layak diiktiraf sebagai mulut orang Melaka, menyebut keadaan saya sama seperti paus yang terdampar di laut cetek kalau emaknya sedang berbaring. Kelahiran anak terakhir beratnya 4.5 kilogram, dan seperti dijangkakan, anak yang bulat, apabila membesar dan lasak semakin panjang dan kurus. Tetapi emaknya??? Oh, tidak juga susut-susut!

Namun keadaan yang luar biasa dan tidak dijangkakan berlaku sewaktu saya ke Hong Kong awal tahun lalu. Wah, 14 hari di sana, saya mampu menyarung semula jeans yang hanya muat tujuh tahun lalu! Tapi seperti juga ramalan lazim saya, keseronokan itu hanya sementara! Makanan di Malaysia memang syurga. Itu sahaja mampu saya kata. Di Hong Kong, em sukar saya mahu katakan... dan perkara inilah yang ingin dikongsi bersama. Hidangan yang cukup tidak terjangkau dek akal fikiran dan eksotik menanti pengunjung. Namun saya memandangnya dengan penuh geli-geleman dan kembang tekak.

Bayangkan sewaktu menyusuri Temple Street saya terpaksa melalui restoran-restoran yang berbumbungkan payung besar. Berdesir-desir bunyi nyonya atau amoi menumis dan menggoreng dalam kuali. Baunya... memang kuat semerbak aroma bawang putih. Saya bersama tiga orang teman, puas menahan nafas seperti mahu menyelam 10 meter.

“Jangan risau! Halal! Itik ini disembelih.” Navin, pemandu pelancong berkali-kali menegur saya yang sekadar mencuit-cuit hidangan setiap kali waktu makan.

“Kamu tidak adventourus!” Sampai satu ketika rungutannya berubah amarah kerana letih melihat saya tidak pernah mahu makan kecuali dibawa ke restoran India Muslim.

“Saya diet!” Itu jawapan paling sopan. Dan Navin akan mencebik dan saya pun tak kecil hati sebab sedar diri ukuran badan bukan seperti waktu di kampus dahulu.

Macam manalah tidak lalu mahu makan kalau setiap kedai makan yang dibawa berjiran dengan hidangan eksotik. Hong Kong memang cukup berani dalam bab-bab makan. Malah Navin yang handsome sayang bangga mengakui diri gay, berkali-kali bercerita, dia makan apa saja, yang berkaki atau tidak, yang terbang atau merayap, kecil besar, semuanya diterima dengan senang hati. Selain itu dia juga puas mengingatkan saya, setiap makanan yang ganjil itu penuh khasiat, penuh rahsia yang tersembunyi. Hanya mereka yang sudah mencuba mampu menceritakannya. Dan, saya sebagai wartawan yang taat, mendengar penuh minat, menyalin penuh tekun, biarpun terasa mahu muntah hijau berbaldi-baldi. Yang jelas setiap khasiat yang disebut itu pasti sahaja dikaitkan dengan seks.

Bayangkan kaki beruang dipotong beruas-ruas, malah masih meleleh-leleh darah segar. Kalau masih berdarah, semakin mahal harganya. Maklum itu tanda hidangan masih segar dan baru. Itu tidak termasuk dengan bertalam-talam daging musang pulut, kucing liar, tenggiling, tupai, ular berbisa, ular tak berbisa, kemaluan badak, telur harimau dan entah segala macam jenis binatang yang patutnya bebas lepas di rimba. Atau, paling afdal pun segala perkara yang berkaitan organ haiwan ini layaknya duduk di makmal sains. Bukan di dalam kuali, di dalam belanga atau di dalam stimboat!

Paling menyayatkan hati apabila terpandang sekilas, sepasang anak muda, menyedut otak monyet yang dicurahkan dengan arak.

“Itu pasangan baru kahwin. Mereka mahu menghilang lenguh-lenguh badan!”

“Dengan otak monyet yang mentah?” Saya dan rakan bertanya. Navin mengangguk selamba.

“Monyet itu ditetak hidup-hidup.”

Lebih tragis apabila saya melihat kulit binatang seperti beruang, kucing dan ular ditayang dan digantungkan. Itu bukti bahawa daging yang sudah siap dimasak atau lauk hidang mereka benar-benar tulen.

“Makan hati harimau, bahagian sulit harimau, nanti di bilik tidur pun macam harimau! Boleh mengaum!” Navin berlawak.

Tetapi tidak seorang pun daripada kami menganggap itu sesuatu yang lucu.

Kalau di Bangkok, Cheing Mai memang biasa saya memandang pelbagai serangga dijadikan kudap-kudapan hatta lipas dan cengkering! Yang moden sikit mencelupnya dengan coklat. Di Bali pun memang tidak terkecuali. Memang ada pasar basah yang menjual ular, monyet, kura-kura untuk dibuat lauk. Tapi bukanlah segala binatang besar seperti badak, gajah, harimau atau beruang. Rasanya kalaulah lelaki yang menyertai kami, tentu banyak benar rahsia dan tips makanan eksotik diterima daripada Navin.

Sukar dibayangkan, lelaki yang mengaku dirinya amat moden seperti Navin dan khabarnya setiap musim sejuk dihabiskan masa enam bulan di dalam kapal layar di Britain, masih mengamalkan kepercayaan tradisi dalam perihal makanan. Melihat susuk badannya yang berruas-ruas, memang Navin mengakui menghabiskan masa tiga atau lima jam di gimnasium jikalau tidak perlu menjadi pemandu pelancong. Namun bab makan, dia memang masih ortodoks! Seperti katanya, kalau mendaki puncak Lantau Island yang berhampiran dengan tanah Hong Kong, dia tidak gusar diganggu ular berbisa.

“Saya akan parangkan kepalanya, belah minum darahnya, makan hempedu dan bakar dagingnya! Jadi lauk sewaktu berkhemah!”

Oh, kami memang terkedu. Begitu karnivor bunyinya! Saya tanya apa khasiat dan seperti dijangka, kata Navin makanan seperti itu akan membuat dirinya panas, perjalanan darah lebih lancar. Ada pula mulut gatal kawan saya yang bertanya. Untuk apa bagusnya darah panas? Navin selamba memberi jawapan yang membuatkan kami malu sendiri. Hebat kala seks! Oh, ngerinya mendengar jawapan mamat gay ini.

Tambah Navin lagi kesan makanan eksotik ini tidak sama dengan viagra. Katanya tersalah makan, pil itu boleh mengancam jantung. Boleh menyebabkan seseorang terus putus nyawa. Kemunculan Viagra di pasaran tempatan pada 1998 pernah diramal akan mengurangkan permintaan terhadap daging haiwan liar ini tetapi ia tidak berlaku di kalangan negara Asia di kala hampir 20 juta lelaki di seluruh dunia menggunakan Viagra dan 96 peratus gembira dengan hasilnya.

Selain Viagra, kemunculan dua lagi pil yang dikatakan lebih hebat iaitu Cialis (Tadalafil) dan Levitra (Vardenafil) tahun lalu masih gagal mengubah persepsi masyarakat meskipun dua pil baru itu tidak mempunyai sebarang kesan sampingan dan lebih selamat lagi berkesan berbanding Viagra. Pertubuhan bukan kerajaan, WildAid, yang terbabit dalam pembanterasan penyeludupan hidupan liar melaporkan bahawa kebanyakan hidupan liar serta organ binatang yang dikatakan berkhasiat diseludup dibawa dari Asia Tenggara menerusi pekan Taichilek di sempadan Thailand-Myanmar khusus untuk dipasarkan di China. Sebenarnya nama Tachileik hanya satu daripada berpuluh-puluh pusat penyeludupan di sepanjang kawasan sempadan itu yang membawa keluar pelbagai flora dan fauna untuk memenuhi permintaan tinggi di China.

Orang tengah ini bertanggungjawab menyeludup barangan berkenaan ke dalam pesawat kargo untuk dibawa ke Vientiane, Laos. Dari sini, ia dibawa menggunakan jalan darat ke Vietnam dan seterusnya ke China. Singapura dan Thailand juga kadang-kadang menjadi pusat transit.
Laporan menyebut beberapa ladang menternak beruang dan harimau secara komersial diwujudkan di China berikutan ancaman Sindrom Pernafasan Yang Teruk (SARS), yang dikatakan berpunca daripada haiwan eksotik liar seperti musang baru-baru ini. Menyusuli ancaman SARS, pihak berkuasa China bertindak membuat serbuan terhadap beberapa pasar hidupan liar di wilayah selatan menerusi operasi `Spring Thunderstorm’ yang menyaksikan rampasan membabitkan kulit 31 harimau, 581 harimau kumbang serta 778 anggota hidupan liar lain bernilai lebih RM4.56 juta.

Hingga kini berjuta-juta masyarakat Cina di serata dunia masih percaya bahawa memakan anggota haiwan tertentu boleh memberi kekuatan menyamai haiwan berkenaan dan ratusan sangkar yang dijaja secara selamba di pasar basah mereka Bekalan tenggiling dari Indonesia, ular dari Vietnam dan beruang serta harimau dari Myanmar kini semakin berkurangan di negara terbabit.

Malah kalau dijengah di pasar Shanghai, Shenzen atau Guangzhou, China berbanding di habitat semula jadi binatang berkenaan. Tanpa disedari lebih 10,000 tan tuntung diperdagangkan saban tahun di rantau Asia sebagai hidangan eksotik. Khabarnya kalau 10 tahun dulu, seorang pemburu di Laos boleh menjual seekor tuntung emas dengan harga RM380 kerana darahnya dikatakan berkhasiat mengubati barah, harganya kini melambung sehingga RM3,800. Jika seorang jutawan China menghidap kanser, dia akan sanggup berbuat apa saja bagi mendapatkan darah tuntung emas ini.

Dianggarkan lebih 20 juta kuda laut ditangkap setiap tahun, terutama di Laut China Selatan dan 95 peratus daripadanya dibekalkan ke kedai tabib Cina di serata dunia. Alkisah kuda laut juga punya magik menyembuh masalah mati pucuk.

Entah, sukar dipadam kepercayaan kuno ini biarpun kalau dilihat gaya pemakanan begini tidak ubah seperti puak barbarian. Sebenarnya bukan di Asia sahaja yang menebal kepercayaan ini. Saya masih terbayang-bayang hidangan di depan mata sewaktu di Hotel Riviera, Beirut, Lebanon. Waktu itu mata masih mamai kerana penerbangan yang amat panjang dari Malaysia hanya singgah dua jam di Dubai. Memang mata tidak boleh buka biarpun hidangan penuh gaya di depan mata. Ada dua biji macam bebola di susun cantik ada pula macam daging sosej yang panjang. Ganjil melihatnya. Saya yang masih berkali-kali menguap besar, bertanya selamba. Apa benda ni... pada pak arab yang menghidang. Ini telur benda sulit kambing jantan puan! Puan letih, ini bagus mengembalikan tenaga.

Oh, tidak! Biarlah saya berlapar. Biarlah saya hilang berat badan bukan sebab diet. Tidak sanggup saya makan benda-benda pelik itu. Baik dari Hong Kong atau Beirut, kala menjejak saja kaki ke airport saya menggelupur mencari nasi lemak. Entahlah, biar jauh pergi, selera dan tekak saya masih Malaysia!

.