Thursday, November 30, 2006

SAINS CINTA & BOOBY TRAP

SAINS CINTA & BOOBY TRAP

BERCERITA tentang cinta memang mengasyikkan! Apatah lagi kalau yang mahu diungkap itu cerita-cerita manis, kisah-kisah lama yang amat mengkhayalkan. Kali ini saya mahu bercerita perihal cinta, kemanisan sepotong cinta dan paling istimewa kaitan cinta dengan hormon tubuh. Satu pagi sewaktu jam sudah menunjukkan pukul dua pagi, telefon bimbit saya berbunyi. Isyarat ada sms masuk. Awalnya saya enggan melayannya apatah lagi saya sendiri sedang kejar-mengejar dengan waktu menyiapkan dua buah buku lagi. Namun tiga kali dalam masa yang singkat telefon bimbit terus berbunyi.
Lily, kau kena tolong aku! Aku jumpa dia semula! Kau cuba-cubalah telefon pejabat dia ye! Mintakkan nombor handphone.Don’t worry.. aku tak rampas sesiapa punya. Dia kembali solo! Kau le sahabat aku dunia akhirat!
O-o... nak kena menyamar lagi!!! Saya menarik nafas panjang. Mengeluh sebab sudah lama benar kegiatan samar-menyamar di telefon ini saya tinggalkan! Namun sahabat saya yang seorang ini nampaknya bersungguh-sungguh meminta tolong. Memanglah di kalangan teman-teman, saya memang cukup cekap menyamar di telefon. Dan memang kalau ‘menggoreng’ orang pun saya cukup terror untuk mengorek rahsia apatah lagi di telefon. Mungkin hasil didikan disiplin kerja sebagai wartawan 11 tahun.
Selama seminggu saya berfikir sebelum menelefon sahabat saya. Dia memang masih solo. Bukannya tidak kepingin berteman namun luka cinta lamanya pada kekasih hati, tidak pernah mahu sembuh. Saya mengenali sahabat ini sejak di bangku sekolah. Cintanya cukup tegar, hatinya tegas, berjanji tiada cinta kedua. Yang dinanti adalah kekasih lama kembali ke rangkulan.
Kali terakhir saya bertemu sahabat saya ini, memang badannya agak berisi. Namun dalam lawak dia sempat mengusik, tubuhnya berisi kerana hati senang! Kalau tension kerja, coklat Pacthi dibelinya berkotak-kotak. Bila-bila teragak, dibelinya kek coklat pisang Secret Recipes macam membeli pisang goreng tepi jalan. Waktu itu jerawat di mukanya, usah dikata! Mengalahkan dara sunti yang baru didatangi haid.
Kami akhirnya bertemu, saya bertanyakan permintaannya yang menjadi misi baru dalam hidupnya. Terkejut bukan kepalang. Wajahnya jernih bercahaya. Kulit semakin hilang parut jerawat dan mulai berbayang merah. Badannya? Masih lagi berisi tetapi kemas dan begitu menggiurkan. Aset paling berharga yang dimilikinya tentu sahaja pinggulnya yang cantik melentik seperti Jlo!
“Aku rasa macam jatuh cinta kali kedua!” Jeritnya sambil memeluk saya yang terpinga-pinga.
“Dengan siapa?” Saya mahu mengucapkan tahniah dan menitipkan doa, moga terus berkekalan sehingga mendapat jodoh.
“Dialah!”
“Siapa?” Saya termangu-mangu.
“Faris!”
Saya terkelip-kelip mendengar nama itu. Cuba mencari dengan tepat dalam kotak memori fikiran. Bukan ke nama itu sering membuat teman saya ini nanar dengan cinta sejak tingkatan lima?
Oh! Saya macam tidak percaya. Namun itulah hakikatnya, perasaan cinta yang kembali berputik membuat teman saya ini semakin bercahaya wajahnya. Keindahan cinta bagai terpancar di celah sinar. Biarpun sekadar baru terserempak dan hanya menyapa sepatah dua, sahabat saya ini bagai terkena panahan cupid kali kedua dari dewa cintanya yang sama! Untuk meminta si dia nombor telefon bimbit, agak malu, maka saya dijadikan sasaran.
Kepala ligat berfikir. Dalam keadaan terdesak, saya nekad menelefon dan dengan nada serius saya minta alamat penuh dan paling penting nombor telefon. Saya cuma katakan saya dari pejabat sekian-sekian mahu membuat penghantaran bungkusan pada si dia! Arghh... tugas saya selesai dan saya smskan nombor itu pada sahabat saya mengharap.
Tidak sampai sebulan kami berjanji temu. Kali ini saya benar-benar terkejut! Badan sahabat saya ini susut 9 kilogram! Diet apa yang diikut? Makan ubat kurus cap apa? Saya pantas bertanya.
“Ubatnya jatuh cinta semula!”
Saya bertegas bertanya dan dia juga serius menjawab.
“Sungguh! Kau kena bercinta... jatuh cinta semula. Tak kiralah untuk kali keberapa biarpun dengan hubby sendiri.” Jawabnya girang. Namun dalam diam dia mengakui, tidak lagi menjamah nasi sejak sekian lama bertemu semula si dia. Rutinnya dalam sehari pasti akan dimainkan lagu berentak fast. Dan dia akan melompat, menari dan membuat step pantas selama sejam sehingga lencun berpeluh. Khabar lain, dia juga semakin rajin menjengah ke farmasi mencari segala vitamin tambahan. Kini saban hari lima jenis vitamin ditelannya.
Oh, itu memang luar biasa! Cinta merubah hormon teman saya ini. Cinta membangkitkan mood bahagia di jiwanya. Kiranya memang benar Prof Helen Fisher dari Universiti of Rutgers di Amerika Syarikat merumuskan jatuh cinta akan membawa perubahan hormon yang hebat pada manusia. Malah tiga tahap percintaan, tahap kesuburan, tertarik dan seterus penyatuan akan memacu hormon dan larutan kimia yang berbeza pada tubuh manusia.

Tahap 1: Kesuburan
Peringkat awal percintaan ini memperlihatkan hormon seks testosterone dan oestrogen menguasai diri lelaki dan perempuan.
Tahap 2: Tarikan
Inilah detik yang paling menakjubkan apabila jiwa terperangkap dalam cinta dan diri tidak mampu berfikir perkara lain. Saintis beranggapan ada tiga neurotransmitter yang mempengaruhi diri manusia pada tahap ini iaitu adrenaline, dopamine dan serotonin. Petanda awal pada detik ini tentunya rasa gelisah yang menguasai jiwa, peningkatan adrenaline dan cortisol pada darah. Semua ini memberi charming effect apabila jantung berdebar dan mulut menjadi kering kala diri asyik terkenang kekasih hati.
Tahap 3: Penyatuan
Helen Fisher berjaya melakukan pengamatan dan uji kaji kepada pasangan yang asyik bercinta. Otak mereka dijadikan sample kajian. Hasilnya, didapati peningkatan pada larutan kimia yang dipanggil neurontransmitter dopamine. Larutan kimia ini membakar rasa ghairah dan penghargaan diri melalui kejutan dan tekanan rasa seronok yang luar biasa. Malah kajian menunjukkan, kesan khayalan dan keseronokan itu pada otak manusia sama seperti mengambil kokain!

Penemuan yang menakjubkan apabila Helen Fisher mendapati mereka yang dirangsang larutan kimia seperti dopamine menunjukkan beberapa simptom. Antaranya, peningkatan tenaga yang hebat, jiwa sentiasa positif, memerlukan tidur yang pendek, boleh mengurangkan pengambilan makanan dan lebih sensitif pada hal yang kecil serta remeh.
Saya terus terkenang teman saya yang kini mungkin semakin asyik dengan buah hatinya! Memang tepat sebenarnya dia menurunkan petua... kalau mahu cantik, mahu bersemangat untuk berlawa-lawa... di hati cinta harus bernyala.
Satu kajian terbaru yang dilakukan di University of Chicago membuktikan bahawa tahap testosterone meningkat sehingga satu per tiga walaupun pada perbualan kasual di antara lelaki dan perempuan yang saling tidak mengenali. Semakin tinggi reaksi hormon, maka semakin ketara perubahan tingkah laku dua insan itu. Kalau dikaji pada binatang, hormon testosterone ini merangsang tingkah laku agresif yang semberono. Paling menarik, dikatakan bacaan hormon ini menurun bagi lelaki yang berkahwin dan bergelar bapa berbanding dengan lelaki yang masih meninjau-ninjau soulmate di padang pencarian.
Pakar piskologi mendapati manusia hanya memerlukan sepantas 90 saat hingga 4 minit untuk membuat keputusan sama ada hati terpaut pada seseorang atau tidak. Percaya atau tidak, kadangkala sewaktu hati sedang asyik berkencan, apa yang kita lafazkan bagai tidak selari dengan apa yang terlintas di fikiran. Lain yang mahu diucapkan, lain pula yang keluar. Ada ketika kita malu sendiri dik bibir yang terlalu cekap melontar kata. Ini diakui oleh ahli psikologi yang mana mendapati saat diri dilamun cinta, kewarasan akal ada kala sukar dikawal. Malah perlambangan cinta itu mudah dikesan sebenarnya. Cinta terserlah melalui
· 55 peratus gesture tubuh atau bahasa tubuh.
· 38 peratus nada suara dan kelajuan anda bercakap.
· 7 peratus dari apa yang bibir lafazkan

Bagi Dr John Marsden, Ketua British National Addiction Center, dia menyifatkan jatuh cinta membawa perubahan besar pada tingkah laku manusia. Mereka yang mengalaminya akan merasai sesuatu yang lebih segar dan jiwa sentiasa teruja dengan jalinan emosi yang romantik. Malah pada penghujung perhubungan dua perasaan ini, kedua-duanya sentiasa terdedah kepada booby trap yang mungkin membawa kebahagiaan atau tidak mustahil kepada keruntuhan moral, iaitu hubungan seksual. Bagi mereka yang berpegang kepada ajaran agama, gamitan dan godaan seksual pasti disalur dengan cara yang halal, iaitu ikatan perkahwinan.
Kajian dari Prof Donatella Marazziti dari University of Pisa, Itali menunjukkan perasaan jatuh cinta juga menyumbang elemen ketenangan dalam jiwa seseorang. Biarpun pakar ini tidak menolak bahawa jatuh cinta boleh membuat seseorang itu menjadi gila. Semuanya apabila hormon pada tubuh melonjak naik terutama serotonin dan adrenaline. Diri berasa khayal, perasaan terbuai-buai malah seseorang itu boleh tersenyum sendirian hatta berbisik pada hati sendiri umpama berhalusinasi. Tidak mustahil juga perasaan cinta membuat seseorang itu.
Penyudah cerita saya dengan teman karib itu, dia meminta pertolongan saya sekali lagi. Mohon belas ihsan saya untuk mencari beberapa keping gambarnya dengan si dia, sewaktu zaman remaja, yang mungkin ada dalam simpanan saya. Uhh... saya tidak sampai hati mengatakan tidak. Namun terfikir, apakah masih ada dalam kotak di bawah katil di rumah emak di Melaka?? Entah-entah semua khazanah lama itu sudah dibakar emak. Entah-entah sudah reput dimakan bubuk dan dipenuhi sawang. Pulang ke Melaka saya menyelongkar. Satu pun tak ada!
Saya meneruskan misi kerana kasihan. Pulang Kuala Lumpur, saya bongkar stor rumah. Saya jumpa dalam tiga keping gambar sahabat ini. Emm, tanpa dirancang saya juga menjumpai dua tong plastik kecil yang isinya sudah berkecai-kecai merata stor menjadi makanan tikus dan anai-anai.. Surat cinta saya dan suami menjadi hidangan tikus rupa-rupanya! Ada yang sudah menjadi debu dan serbuk! Saya kutip dan leraikan habuk dan debu yang ada... Sunti pembantu rumah turut kehairanan bila saya menyuruh dia mengutip surat dan poskad yang masih boleh diselamatkan. Bayangkan persahabatan sepanjang lapan tahun, tentu mencecah ratus suratnya. Saya baca semula. Saya senyum dan ketawa. Paling bermakna apabila saya kutip bumbu kartu cinta itu untuk diselitkan dalam novel yang sedang saya tukangkan kini. Dan, benarlah kata sahabat saya... tiba-tiba saya berasa kembali muda... teringin hendak menguruskan badan, terasa mahu kembali ke zaman remaja dahulu... apabila saya memandang suami, saya rasakan pandangan saya itu seperti kami belasan tahun dahulu! Perasaan cinta yang penuh larutan kimia sebenarnya mampu merangsang kita kembali muda. Tolak bulan puasa, rasanya sudah dua bulan saya tidak menjamah nasi. Hasilnya? Saya hilang 11 kilogram tidak sampai dua bulan! Tak percaya? Kalau tak percaya, yang sudah berkahwin, cuba hangatkan kembali cinta anda... yang masih solo, cuba cari cinta pembakar semangat... anda akan berasa lebih positif!