Friday, November 24, 2006


UMPAMA misteri yang tidak terungkai, cinta sering membuat hati kita tidak keruan. Jiwa menjadi kacau, dada sentiasa resah gara-gara cinta. Apakah benar cinta pertama itu sesuatu yang sukar dipadam dari ingatan. Berapa kali pula seorang gadis mampu mengulangi kemanisan cinta sepanjang hidupnya? Sekali seumur hidup, atau memang cinta itu berupaya tumbuh, patah dan kembali bertunas, berkali-kali? Sukar mencari jawapan bagi persoalan begini.

Cinta, penantian dan harapan sering berbaur menjadi satu. Ada ketika cinta memang manis dipendam sahaja. Biar bertahun-tahun, dalam diam dan bisu! Perasaan dan hati sahaja yang berkata-kata. Kala bertentang mata, seribu ungkapan tidak perlu! Cinta memang penuh keanehan. Mungkin kerana itu cinta memang ada waktu tidak perlu bersatu.

Masam-Masam Manis membawa pelbagai kisah dan ragam kala bercinta. Kisah cinta memang tidak pernah berakhir. Pikat-memikat, digoda, dipujuk, sesekali terkecewa kemudian terluka; antara sesuatu yang pasti dalam percintaan. Perca-perca perasaan ini dirangkum menjadi satu di dalam Masam-Masam Manis

Cinta itu perasaan yang memiliki seribu warna. Setiap orang mempunyai kisah dan laluan cinta yang tersendiri. Menyingkap maksud cinta, pengertiannya amat luas, tidak terjangkau dek perasaan. Tiada batas sempadan untuk kita tafsirkan cinta.


Masam-Masam Manis ibarat menyingkap helaian-helaian cinta, yang mampu mencetus rasa rindu kita pada cinta yang mungkin pernah hadir dalam hati. Bagi mereka yang sedang asyik mencicip kemanisan cinta itu, Masam-Masam Manis mampu menjadi kitab percintaan. Setiap daripada kita pasti pernah memiliki rasa cinta. Ada ketika begitu berserakan di hati membuat kita rasa keliru. Apakah benar si dia pilihan hati, atau kita harus menanti cinta lain yang mungkin datang kemudian hari? Namun ada ketika cinta itu lebih manis dalam batas persahabatan. Hubungan platonik dan cinta, apa bezanya, di mana batasannya? Semua ini terungkap di dalam Masam-Masam Manis. Ada waktu cinta itu penuh dengan dusta biarpun hati tetap merintih dia yang kita cintai! Ya, kalau ditanya ada apa dengan cinta... cinta itu penuh dengan masam-masam manisnya.


Cinta ada segalanya, dalam cinta ada rindu, ada resah ada derita!